Music Player

Showing posts with label P.Ramlee. Show all posts
Showing posts with label P.Ramlee. Show all posts

Wednesday, June 15, 2016

Filmography P.Ramlee


P.Ramlee (dilahirkan sebagai Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh; 22 Mac 1929 - 29 Mei 1973) merupakan seorang penyanyi, pelakon, pengarah, pemuzik dan penulis lagu yang berasal dari Pulau Pinang, Malaysia.

Beliau juga digelar sebagai "Seniman Agung Negara" kerana jasanya yang amat besar dalam industri hiburan terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Beliau pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti Best Male Lead Role (Festival Filem Asia Ke-4, Tokyo) dan Most Versatile Talent (Festival Filem Asia Ke-10, Tokyo). Beliau telah berjaya menghasilkan sebanyak 401 buah lagu dan 66 buah filem sepanjang hayatnya.

P.Ramlee telah dilahirkan pada 22 Mac 1929, iaitu selepas selesai khutbah Hari Raya Aidilfitri di Pulau Pinang.

Merupakan anak kepada pasangan Teuku Nyak Puteh bin Teuku Karim (1902 - 1955) dan Che Mah Hussein (1904 - 1967).

Sebelum Che Mah melahirkannya, Che Mah telah mengadu sakit perut pada sebelah paginya. Tetapi, bapanya harus menunaikan sembahyang raya.

Mujurlah ibu kepada Che Mah tinggal bersama-sama dengannya. Ibu Che Mah telah memanggil bidan dan orang ramai mula berkumpul di rumah mereka.

Selepas pulang daripada menunaikan solat, Teuku Nyak Puteh mendapati anaknya telah selamat dilahirkan. Ibu Che Mah telah memanggil cucunya dengan panggilan "Ramlee" kerana kesukaran memanggil nama "Teuku Zakaria".

Teuku Nyak Puteh (bapa P.Ramlee) pula merupakan anak tunggal yang berasal dari Lhokseumawe, Acheh. Beliau mengembara untuk menjadi pelayar kerana merajuk kepada salah seorang ahli keluarganya. Akhirnya, beliau berkenalan dengan seorang janda bernama Che Mah Hussein (ibu P.Ramlee).

Perkenalan ini telah menyebabkannya berkahwin dengan Che Mah pada tahun 1925 di Kampung Kubang Buaya, Butterworth.

P. Ramlee turut mempunyai seorang adik-beradik tiri melalui perkahwinan pertama ibunya, iaitu Syeikh Ali. Ibunya meninggal akibat penyakit barah gusi, ketika P. Ramlee dalam perjalanan pulang
ke Pulau Pinang.



P.Ramlee juga telah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan Francis Light English School. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Penang Free School sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua.

Ketika beliau masih bersekolah di Penang Free School, beliau dikenali sebagai pelajar yang kemas dari segi tulisan dan mempunyai bahasa yang menarik. Pada waktu tengah hari, beliau mempelajari
pendidikan Islam dan pada sebelah malamnya, beliau aktif bersukan.

Guru beliau, iaitu Encik Hashim adalah merupakan bapa kepada Seniman Ahmad Daud. Setiap hari,
beliau akan disuruh oleh Encik Hashim untuk menghantar buku-buku pelajar ke rumahnya. Sebelum pulang ke rumah, beliau seringkali dipelawa untuk makan di rumah Encik Hashim.

Ketika zaman pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, beliau belajar di Japanese Navy School (Kaigun Gakko) sebelum kembali ke Penang Free School apabila perang dunia tamat.

P.Ramlee mula meminati bidang muzik apabila melihat rakan-rakannya bermain muzik di kampungnya. Beliau mula mengumpul duit hasil upahan orang dalam usaha untuk membeli sebuah biola.

Ketika beliau bersekolah di Japanese Navy School, beliau pernah menjadi ketua dalam satu batalion
seramai 150 orang. Apabila pertunjukan pentas diadakan pada setiap malam minggu, beliau seringkali diundang untuk menyanyi beberapa buah lagu.

Monarki sistem pendidikan Jepun di Malaya telah menyebabkan beliau dapat menguasai bahasa Jepun dalam masa yang singkat. Dan pihak Jepun telah menghantarnya ke merata-rata tempat untuk mengasah kemahirannya menguasai bahasa berkenaan.

Kebiasaannya selepas selesai menunaikan solat pada waktu malam, beliau berlatih bermain muzik bersama pancaragam Sinaran Bintang Sore. Seterusnya, beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung sebagai pemain biola, penyanyi, dan pencipta lagu.

Encik Kamaruddin (Pemimpin Brass Band di Penang Free School) telah menyedari bakatnya dan menawarkan kelas bermain piano di rumahnya. Oleh kerana beliau tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya ketika sesi pengajaran, Normah iaitu anak perempuan Encik Kamaruddin telah membawanya secawan kopi sebagai galakan.

Di suatu hari, Kumpulan Rayuan Asmara yang terdiri daripada pelakon-pelakon pentas bangsawan telah mengadakan pertunjukan pentas di Pulau Pinang. Pada ketika itu, P.Ramlee berhasrat untuk melihat persembahan tersebut walaupun tidak mempunyai wang. Melalui hasil pendapatan beliau yang diperoleh daripada majlis keramaian dan pertunjukan pentas telah dibelanjakan untuk membeli pakaian.

Pernah suatu ketika, beliau terpaksa memakai baju koyak dan menutupnya dengan sehelai kot di bahagian luarnya.

Akhirnya, beliau memberanikan diri dengan memanjat pagar untuk melihat persembahan oleh kumpulan Rayuan Asmara. Kasma Booty menjadi penyanyi dalam kumpulan tersebut dan belum dikenali sebagai pelakon filem.

Ahmad C.B. pula telah berjumpa dengan ketua Orkes Teruna Sekampung dan mencadangkan mereka bergabung dengan kumpulan Rayuan Asmara. Pada suatu pertunjukan hasil gabungan kedua-dua kumpulan, P. Ramlee telah berjumpa dengan Kasma Booty buat kali pertama. 

P. Ramlee juga mula berkenalan dengan pemain saksofon, Jaafar yang merupakan bapa tiri Kasma Booty. Untuk suatu ketika yang lainnya sesudah itu, beliau tidak lagi dapat berjumpa dengan Kasmy Booty kerana kumpulan Rayuan Asmara sentiasa berpindah randah dalam mengadakan pertunjukan.



Filem pertama lakonan P. Ramlee ialah Chinta, sebuah filem yang dikeluarkan pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan juga sebagai penyanyi latar. Kejayaannya terus berkembang dan beliau telah berlakon di dalam 27 buah filem di antara tahun 1948 hingga 1955.

Salah seorang pendorong dan guru beliau dalam dunia perfileman Melayu ialah Tan Sri L. Krishnan yang merupakan pengarah bagi filem Melayu sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an.

Gaya lakonan P.Ramlee yang amat bersahaja itu adalah hasil inspirasi dari dua pelakon terkenal dari India Selatan di zaman itu iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. 

‘Bulan jatuh ke riba’ bagi P.Ramlee pada tarikh 1 Jun 1948 apabila ditemui oleh pengarah filem Tamil, B.S.Rajhans. Pengarah tersebut tertarik pada bakat P. Ramlee dan pada tahun 1949 ia telah direalitikan melalui filem Nasib (Fate). 

Lagu pertama ciptaan P. Ramlee ialah Azizah yang ditulis pada 1945 dan ditujukan pada gadis pujaannya iaitu Azizah. Tawaran yang akhirnya mengubah keseluruhan hidupnya itu datang daripada Rajhans yang kemudiannya mengajak P. Ramlee ke Singapura untuk bekerja di Studio Jalan Ampas (Malay Film Productions/MFP).

Tujuh tahun kemudian, P Ramlee mengarahkan filem pertamanya Penarik Becha (The Trishaw Man). Pada tahun 1957, P. Ramlee mengarahkan filem komedi pertamanya, Bujang Lapok (Dowdy Bachelors) dan beliau berlakon bersama S. Samsuddin dan Aziz Sattar, yang begitu popular di kalangan peminat masa kini.

Antara filem-filem ‘box-office’ beliau ialah:

Anakku Sazali
Semerah Padi
Bujang Lapok
Antara Dua Darjat
Seniman Bujang Lapok
Ibu Mertuaku
Labu-Labi
Madu Tiga



Sepanjang berada di Singapura, beliau sempat mengarahkan 16 buah filem dan selepas kembali ke Kuala Lumpur pada 16 April 1964 beliau menghasilkan 18 buah filem bermula dengan Si Tora Harimau Jadian sehingga yang terakhir iaitu Laksamana Do Re Mi (1972). 

Dalam penciptaan lagu, beliau seringkali menerima bantuan penulis lirik seperti S.Sudarmaji, Jamil Sulong, HM. Rohaizad dan Ainol Jamal. Ketika hayatnya, P. Ramlee mencipta kira-kira 1000 buah lagu. 

Dalam pemikiran terbuka, P. Ramlee gemar menerapkan pelbagai rentak muzik seperti rentak melayu tradisional, tempo waltz, rumba, cha-cha, twist, timur tengah, cina dan irama Hindustan.

P. Ramlee hanya hadir ke sekolah sebanyak 10 hari dalam sebulan. Selebih hari-harinya banyak dihabiskan dengan ke sana ke mari mengikut pasukan pancaragam. Sejak kecil lagi P. Ramlee memang berminat bermain muzik. Tidak hairanlah jika banyak masa dihabiskan di rumah Tuan Kamaruddin untuk belajar bermain gitar dan biola. 

P. Ramlee juga menjadi penyusun lagu-lagu pancaragam bernama Mustika. Ketika itu P. Ramlee mula mencipta lagu seperti Azizah, Baidah, Abang Dollah, Mee Jawa, Joget Melayu, Malam Thaipusam, dan Padang Kota.

P. Ramlee menyertai pertandingan menyanyi di Radio Malaya, Pulau Pinang kali pertama pada 1945. Tempat ke-4 pada tahun itu dan melonjak ke tempat ke 2 untuk tahun berikutnya. Menjadi juara penyanyi untuk Utara Malaya anjuran Radio Malaya. 

Kemudian bakat P. Ramlee berkembang setelah beliau berhijrah ke Singapura. Lagu-lagu ciptaannya banyak dimuatkan dalam filem-filem Malay Film Productions di Singapura dan Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1951, lagu-lagu P. Ramlee mula direkodkan di dalam piring hitam. Kebanyakan lagu adalah dari filem-filem lakonannya. Banyak pengalaman yang ditempuhinya dalam usahanya merakam lagu. 

Lagu-lagu P. Ramlee tidak bosan kita mendengarnya, bahkan indah kedengaran ditelinga kita. Pembawaan suaranya menggema merdu, lagu-lagunya membawa irama manis. Menjadi nyanyian dan siulan umum. Terkenalnya lagu-lagu itu bertambah terpuja nama P. Ramlee sebagai bintang filem dan sebagai biduan negara.

Menurut P. Ramlee, mencipta lagu adalah bergantung kepada jiwa penciptanya. Jika pencipta sesuatu lagu itu sedang dirundung duka, maka lagu yang terhasil tidak dapat melahirkan lagu yang berirama gembira. 

Dan jika pencipta lagu itu sedang bergembira pula, maka dia tidak dapat untuk menggambarkan bagaimana tekanan jiwa yang sedang berduka. P. Ramlee juga menekankan penciptaan lagu bukanlah paksaan. Tetapi bergantung kepada ilham yang datang. 

Kesinambungan antara irama dan lagu perlu. Banyak proses yang perlu dibuat untuk menghasilkan sesebuah lagu. Itulah dapur seorang ahli muzik yang menyiapkan resepi dan buburnya untuk hidangan umum.



Antara lagu beliau yang popular dan menjadi kegemaran ramai ialah seperti:

Anak Ku Sazali
Azizah
Barang Yang Lepas
Berkorban Apa Saja
Bulan Dipagar Bintang
Bunyi Gitar
Dendang Perantau
Di Mana kan Ku Cari Ganti
DoReMi
Engkau Laksana Bulan
Getaran Jiwa
Jangan Tinggal Daku
Jeritan Batin Ku
Menceceh Bujang Lapuk
Putus Sudah Kasih Sayang

Lagu dan lirik terakhirnya adalah “Ayer Mata Di Kuala Lumpur” pada tahun 1973 sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.



P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Kali pertama beliau berkahwin dengan Junaidah Daeng Harris pada 1950 tetapi perkahwinan mereka menemui kegagalan pada tahun 1954.

Perkahwinan kedua beliau adalah dengan Noorizan Mohd. Noor pada 6 Februari 1955 yang merupakan seorang kerabat diraja bagi negeri Perak, yang sanggup meninggalkan kehidupan di istana demi cintanya itu.

Walaubagaimanapun, Norizan mengharapkan sesuatu yang lebih dari perkahwinan mereka, tetapi P.Ramlee lebih menumpukan hidupnya kepada kerjaya seni yang menyebabkan perkahwinan mereka berakhir pada tahun 1961.

Perkahwinan Kali terakhir beliau adalah bersama dengan Saloma pada 21 November 1961 dalam satu majlis yang sangat sederhana bersama rakan-rakan terdekatnya.

Lumrahnya wanita-wanita yang mencintai beliau mempunyai sebab-sebab yang berbeza. Isteri pertama beliau, Junaidah, menyintainya ketika masih belum lagi terkenal.

Seterusnya, Norizan pula mencintainya sebagai seorang seniman dan pembikin filem yang popular.

Walaubagaimanapun, Saloma mencintainya dengan seadanya iaitu sebagai seorang seniman dan juga sebagai seorang insan biasa. Perkara ini yang menyebabkan Saloma menjadi teman hidup sehati sejiwa beliau sehingga ke akhir hayat.



P. Ramlee mempunyai ramai anak yang dijaga beliau dan tetapi hanya dua orang sahaja yang merupakan anak kandungnya hasil perkahwinan beliau dengan Junaidah.

Anak-anak beliau banyak membantu beliau dalam kerja seperti menjadi penyanyi latar kanak-kanak
(contohnya lagu Tolong Kami Bantu Kami daripada filem Tiga Abdul) dan pelakon kanak-kanak tambahan (contohnya Sazali yang berlakon sebagai anak pekerja ladang dalam Anak Bapak).

Berikut adalah senarai anak-anak P.Ramlee :-

01 Nasir : Anak kandung bersama Junaidah (1953-2008)
02 Arfan : Anak kandung bersama Junaidah (1954-1998)
03 Sazali : Anak angkat (lahir 1958)
04 Abdul Rahman : Anak tiri (anak Junaidah)
05 Norma : Anak tiri (anak Noorizan)
06 Armali : Anak tiri (anak Saloma dan A.R.Tompel)
07 Betty : Anak angkat
08 Zakiah @ Zazaloma : Anak angkat (lahir 1963)
09 Sabaruddin @ Badin : Anak angkat (1966-2007)
10 Salfarina @ Dian : Anak angkat (keturunan Cina)



Setiap insan yang hidup pasti akan mati. P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa yang bertarikh 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun akibat sakit jantung semasa tiba di Hospital Kuala Lumpur dan jenazah P. Ramlee telah disembahyangkan di Masjid Kampung Baru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan orang-orang Islam di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Orang ramai hadir ke upacara pengkebumian jenazah P. Ramlee sebagai tanda penghormatan terakhir.

Bagi mengenang jasa dan sumbangannya, beliau telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri.

Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai Pustaka Peringatan P Ramlee pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur
namanya turut diabadikan pada sebatang jalanraya iaitu Jalan P. Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982.

Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P. Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "doktor".

Beliau juga diberi penghormatan oleh Pemerintah Negeri Sarawak dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak atau Datuk Amar Bintang Kenyalang (Posthumous) D.A.(P) pada 2009.

Anugerah tersebut telah disampaikan kepada anak angkat beliau iaitu Dian P. Ramlee.

Kemudian, sempena 50 tahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada tahun 2007, beliau telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program Anak Gemilang Malaysia yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaan dalam menaikkan nama negara di mata dunia.

Pada tahun yang sama, kisah hidup beliau juga telah dipentaskan dalam satu pementasan teater muzikal dengan tajuk P. Ramlee the Musical... Hidup, Cinta dan Inspirasi.

P. Ramlee adalah satu nama besar dalam sejarah seni dan budaya bangsa khususnya dalam bidang muzik, lagu, lakonan dan perfileman. Sebagai seorang insan seni, P. Ramlee telah berjaya membentuk cara, gaya dan disiplin yang tersendiri dalam bidang berkenaan dan inilah yang menjadikan karya-karya beliau masih tetap segar dalam sanubari anak bangsanya hingga kini. 

Lagu-lagu dan filem-filem lakonan dan arahannya adalah bersifat klasik dan diminati sehingga hari ini. Karya beliau jelas bukan sekadar hiburan sahaja malah ia adalah satu himpunan khazanah yang membicarakan tentang cita-cita, harapan, impian, nilai, kesucian agama, kemelut sosial dan keagungan sejarah bangsanya. 



Semuanya ini dipaparkan dalam karya-karyanya bersama-sama dengan pandangan, pendapat dan saranan beliau untuk didengar dan ditatap. Demikian besarnya karya beliau yang semestinya menjadi iktibar, panduan dan rujukan ilmiah untuk generasi masa kini. Pemergian beliau masih segar dalam ingatan dan pasti akan terus kekal sampai bila-bila.



Hancur badan dikandung tanah
Budi baik dikenang juga
Biar alam hancur dan musnah
Jasa mu tetap dikenang juga

Semoga Allah S.W.T mencucurkan rahmat ke atas roh beliau. Al-Fatihah untuk Allahyarham P.Ramlee.

P.Ramlee.. walaupun dikau sudah tiada.. namun pengorbanan dan jasa mu akan terus dikenang, sentiasa subur mekar di jiwa kami sepanjang hayat.

Memang benarlah seperti apa kata P.Ramlee semasa hidupnya dulu.. "Walaupun Aku Pasti Mati Suatu Hari Nanti, Namun Aku Akan Terus Hidup Sehingga 1000 Tahun Lagi"..

Sekian.


Sekarang mari kita soroti liku-liku perjalanan karier seni filemografie artis versatiles ini :-




Chinta 1948








Noor Asmara 1949








Nasib 1949








Nilam 1949








Rachun Dunia 1950








Bakti 1950








Takdir Illahi 1950








Aloha 1950








Penghidupan 1951










Sejoli 1951








Juwita 1951








Antara Senyum dan Tangis 1952









Anjoran Nasib 1952










Patah Hati 1952





 




Sedarah 1952










Miskin 1952










Putus Harapan 1953










Ibu 1953











Hujan Panas 1953










Siapa Salah ? 1953










Panggilan Pulau 1954











Perjodohan 1954











Merana 1954










Abu Hassan Penchuri 1955








Penarek Becha 1955










Hang Tuah 1956









Semerah Padi 1956









Anak-ku Sazali 1956








Pancha Delima 1957










Bujang Lapok 1957










Sumpah Orang Minyak 1958








Sarjan Hassan 1958










Pendekar Bujang Lapok 1959








Musang Berjanggut 1959









Nujum Pak Belalang 1959









Antara Dua Darjat 1960









Ali Baba Bujang Lapok 1961









Seniman Bujang Lapok 1961







Ibu Mertua-ku 1962









Labu dan Labi 1962








Love Parade 1963








Nasib Si Labu Labi 1963










Madu Tiga 1964








Tiga Abdul 1964










Melanchong Ka Tokyo 1964










Sitora Harimau Jadian 1964








Ragam P.Ramlee 1964










Dajal Suchi 1965









Masam-Masam Manis 1965








Sabarudin Tukang Kasut 1966










Do Re Mi 1966










Nasib Do Re Mi 1966









Sesudah Suboh 1967










Keluarga 69 1967











Anak Bapak 1968









Gerimis 1968









Ahmad Albab 1968











Kanchan Tirana 1969








Bukan Salah Ibu Mengandung 1969








6 Jahanam 1969








Di-Belakang Tabir 1969








Dr.Rushdi 1970










Gelora 1970











Putus Sudah Kaseh Sayang 1971









Jangan Tinggal Daku 1971










Laksmana Do Re Mi 1972







Info Cover : Credit to all contributors for this Special Filmography